Hidup
Hidup....... semua manusia yang hidup di atas muka bumi pinjaman tuhan ini, mempunyai hidup mereka masing-masing. Aku juga begitu...... Semua manusia ini sebenarnya sama.Cuma apa yang membezakan antara mereka adalah takdir dan perjalanan hidup mereka. Setiap perjalanan dan takdir kehidupan setiap manusia itu berbeza. Takdir kehidupan seseorang itu boleh diibaratkan seperti sehelai batik. Setiap helai batik akan mempamerkan coretan dan lakaran yang berbeza. Tidak dapat dinafikan didunia yang penuh misteri ini terdapat juga sebahagian lakaran dan coretan batik yang sama atau mungkin hampir sama. Namun, ianya tetap memberi gambaran yang berbeza pada setiap helai batik.
Helaian batik yang mewakili kehidupan aku ini merangkumi pelbagai corak dan warna. Corak dan warna yang menonjolkan siapa aku sebenarnya. Berbagai-bagai corak yang telah terlakar dan hidup aku. Suka, duka, derita, bahagia, sensara......semuanya bercampur dalam satu lakaran kehidupan. Adakalanya aku rasa seolah-olah aku ini adalah manusia yang paling malang. Tetapi apabila aku renung kembali sedalam-dalamnya tentang apa yang pernah aku lalui dan aku alami selama ini, aku sedar yang aku adalah seorang manusia yang sangat beruntung. Terlalu beruntung sehinggakan aku sendiri tidak segan-segan melabelkan diriku ini sebagai seorang manusia yang tidak tahu bersyukur.
Kadang-kadang ingin saja aku ceritakan apa yang sebenarnya terbuku didalam sekeping hatiku ini. Ingin saja rasanya aku canangkan apa yang tersimpan dan tersembunyi disebalik senyuman yang selalu terukir dibibirku. Namun, bukan semudah itu untuk membuka segala rahsia hidupku sendiri. Ianya umpama membuka oekung didada. Walaupun ianya akan memberikan aku ketenangan atau mungkin satu kelegaan selepas meluahkan segalanya yang terpendam, tetapi ianya juga akan menyundang rasa penyesalan andainya satu masa nanti ada pihak yang mula menyalahkan aku atas apa yang terjadi.
Hidup tidak semudah yang kita semua sangkakan. Kita terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis kesukaran dan cabaran. Semuanya menuntut satu kesabaran dan ketabahan. Adakalanya kita diduga dengan kesukaran membuat pilihan. Seolah-olah kita terkandas disatu persimpangan antara dua pilihan. Setiap satu pilihan ada manfaat dan risikonya. Adakalnya kita diduga dengan pilihan yang mengelirukan. Kita terpaksa memilih antara keinginan dan keperluan atau mungkin juga kita terpaksa memilih antara keadilan dan kepuasan. Semuanya bergantung pada pendirian, kemahuan dan kebijaksanaan kita untuk menilai dan seterusnya membuat pilihan.
Bagi seorang manusia yang bijak membuat pilihan, dia tidak akan ragu-ragu dengan setiap pilihan yang dibuat. Tetapi bagi seorang manusia yang kurang bijak dan tidak berpendirian seperti aku, sering kali membuat kesilapan dalam membuat pilihan. Aku sering kali memilih jalan yang tidak sepatutnya. Kadangkala aku terlalu terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan. Aku selalu merasa curiga dan ragu-ragu dalam semua pilihan yang aku ambil. Mungkin juga kerana aku sudah sering membuat pilihan yang salah sehinggakan aku takut untuk berdepan dengan realiti yang sememangnya aku akan selalu berdepan dengan pilihan.
Tetapi seperti satu pendapat yang sering kita dengar, pengalaman itu adalah guru yang paling baik. Berdasarkan pandangan itu, aku sepatutnya lebih matang dan semakin bijak mengatur hidup aku sendiri. Tetapi adakah aku semakin matang dan semakin bijak? Atau mungkin aku masih lagi seperti dulu? Aku sendiri tiada jawapannya. Setidak-tidaknya buat masa ini.....
Sincerely,
broken heart....
No comments:
Post a Comment